Sunday, August 8, 2010

Pantang menyerah sebelum ajal.


"Dari Anas bin Malik r.a, nabi s.a.w bersabda: "Janganlah sekali-kali salah seorang daripada kamu mengharapkan kematian kerana suatu malapetaka yang menimpanya. Jika ia tidak dapat berbuat sesuatu (sudah puas berubat atau beriktiar) maka hendaklah ia berdoa: "Wahai Tuhanku, hidupkanlah aku seandainya kehidupan itu lebih baik bagiku, tetapi matikanlah aku seandainya kematian itu lebih baik bagiku" (Bukhari)"

Huraiannya

Sebagaimana maklum islam menyuruh umatnya agar berusaha dan berikhtiar dalam apa jua perkara dan kesulitan yang dialami di samping berdoa memohon petunjuk dan pertolongan daripada Allah S.W.T. Hal ini kerana kehidupan itu adalah satu ujian daripada Allah yang diberikan kepada setiap manusia demi menguji sejauh manakah keteguhan iman seseorang itu dan setakat manakah pergantungannya terhadap Allah. Orang-orang yang beriman akan sentiasa bersabar dan tabah dalam dugaan ini dan sebaliknya bagi orang yang kurang imannya dimana hal yang demikian boleh memungkinkan seseorang itu menyalahkan takdir Allah hingga diri tersesat jauh dari jalan-Nya. Oleh itu hendaklah kita sentiasa beringat bahawa setiap kesakitan yang dialami itu adalah suatu tanda kasih sayang Allah kepada hamba-hamba-Nya dimana jika seseorang itu berjaya mengatasinya iaitu ia tidak mengeluh dan sentiasa bersabar sambil berusaha dan berikhtiar, Allah akan memberikan ganjaran pahala yang amat besar. Bukankah setiap penyakit itu ada ubatnya, maka kita selaku hambanya mesti yakin akan kebesaran kuasa Allah dan janji Allah serta tidak berputus asa. Hidup adalah suatu perjuangan. bak kata pahlawan melayu "pantang menyerah sebelum ajal".

No comments:

Post a Comment